JULAI 2021

Program Pemberian Vaksin Fokus Kerajaan Sarawak


MIRI, Ahad: Kerajaan Sarawak telah menetapkan program pemberian vaksin sebagai dasar utama untuk menangani pandemik Covid-19 di Sarawak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg di sini semalam.

Program-program lain seperti penguatkuasaan PKP hanya tindakan bersifat sementara, jelas beliau dalam sidang media di Curtin University pada penghujung lawatan beliau ke beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di sekitar Miri. 

Beliau menyatakan mengikut pandangan para pakar kesihatan Covid-19 hanya mampu ditangani dengan berkesan melalui suntikan vaksin. 

Oleh itu, untuk mempastikan kejayaan pemberian vaksin Sarawak bersedia untuk memperoleh vaksinnya sendiri, katanya lagi.

Kerajaan Negeri telah memohon kelulusan untuk memperoleh 650,0000 dos vaksin Cansino pada bulan lepas khusus untuk kegunaan di kawasan luar bandar. 

Sarawak, walaupun dengan kekangan saiz dan bentuk muka buminya dan taburan penduduk yang berselerak merupakan negeri yang teratas dalam program pemberian vaksin dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Setakat 16 Julai, 1.52 juta (75%) rakyat Sarawak sudah menerima dos pertama dan 818,398 (40.1 %) bagi dos kedua.

Bagi Bahagian Miri, 247,568 (75.40%) telah diberi dos pertama dan 123,883 (37.73%) untuk dos kedua. 

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari berpuashati dengan perkembangan program pemberian vaksin di Bahagian Miri yang telah mendapat kerjasama dari pelbagai pihak. 

Mengenai kes harian Covid-19, beliau menyatakan jangkitan sudah menampakkan penurunan dan tekanan terhadap ICU dan kemasukkan ke hospital sudah berkurangan. 

Sejurus tiba di sini Datuk Patinggi Abang Haji Zohari dan rombongan terus begerak ke PPV Hospital Miri di Sekolah Menengah Riam Road sebelum meneruskan lawatan ke PPV di Eastwood Country and Golf Club, PPV Industri di Ibu Pejabat Petronas Carigali dan berakhir di PPV bertempat di Curtin University. 

Ahli rombongan beliau termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan,  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian dan Setiauasaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion. 

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, ahli Parlimen dan ADUN.

Sumber dari : Sarawakku